SPM Kekal, Kerajaan Tak Pernah Rancang Mansuh Peperiksaan Utama Negara

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, menepis dakwaan kononnya kerajaan bercadang memansuhkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sambil menegaskan peperiksaan itu kekal sebagai kelayakan tamat persekolahan paling penting dalam sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, kekeliruan timbul selepas pemansuhan UPSR dan PMR sebelum ini, namun kedua-duanya tidak wajar disamakan dengan kedudukan SPM.

“UPSR adalah peperiksaan, manakala PT3 pula merupakan penilaian berterusan. Kerajaan tidak ada hasrat untuk memansuhkan SPM. Ia pensijilan tertinggi dalam sistem persekolahan Malaysia,” katanya dalam podcast Kerusi Biru.

Fadhlina berkata, KPM kini berusaha menyeimbangkan pentaksiran berterusan dengan standard kebangsaan supaya pembangunan pelajar dapat dinilai lebih menyeluruh.

“Penilaian tidak boleh hanya bergantung kepada peperiksaan semata-mata. Setiap murid ada bakat berbeza dan itu perlu dikenalpasti dengan lebih holistik,” jelasnya.

Tambah beliau, matlamat utama KPM bukan menghapuskan peperiksaan, tetapi memastikan sistem penilaian lebih adil dan mengambil kira kepelbagaian keperluan pelajar.

Sebelum ini, Profesor Universiti UCSI, Tajudin Rasdi, mencetuskan perdebatan apabila menyatakan bahawa SPM semakin tidak relevan pada era pendidikan moden, lebih-lebih lagi dengan kewujudan saluran latihan TVET yang lebih praktikal.

Namun Fadhlina menegaskan bahawa selagi SPM menjadi rujukan utama kelayakan tamat persekolahan, kerajaan komited untuk mengekalkannya sebagai komponen penting sistem pendidikan negara.

BBerkaitan

Latest articles