SPM 2024: Ahmad Zahid Ucap Tahniah, Bangga MRSM Catat Prestasi Cemerlang

Kuala lumpur — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merakamkan ucapan tahniah kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, khususnya 7,650 pelajar dari 55 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang mencatatkan pencapaian membanggakan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata keputusan cemerlang itu mencerminkan dedikasi pelajar serta sokongan berterusan ibu bapa dan pendidik. “Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan malah menjadi bukti kesungguhan mereka yang tidak pernah berputus asa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, gred purata (GP) calon MRSM meningkat ketara kepada 1.892 berbanding 2.392 pada tahun 2023. Sebanyak 10 MRSM mencatatkan GP bawah 1.50, meningkat daripada hanya satu MRSM tahun lalu, manakala 31 MRSM berada di bawah GP 2.00 — lonjakan besar berbanding sembilan MRSM pada 2023.

“Sebanyak 1,670 pelajar MRSM atau 21.83 peratus memperoleh semua gred A (A+, A dan A-), meningkat daripada 1,131 orang pada tahun sebelumnya,” jelas beliau.

Pencapaian calon MRSM yang memperoleh semua A+ turut meningkat kepada 69 orang berbanding 50 orang pada 2023. Daripada jumlah itu, lapan calon memperoleh 10A+ manakala 61 lagi memperoleh 9A+.

Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa 54 daripada 55 MRSM berjaya mencatat peningkatan dalam GP, dengan MRSM Beseri dan MRSM Balik Pulau merekodkan lonjakan tertinggi masing-masing sebanyak 1.408 dan 1.171 mata.

Secara keseluruhan, keputusan SPM 2024 mencatatkan prestasi terbaik sejak 2013, dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) meningkat kepada 4.49 berbanding 4.60 pada 2023.

Seramai 14,179 calon atau 3.7 peratus memperoleh keputusan semua A (A+, A dan A-) dalam semua subjek — peningkatan ketara daripada 11,713 calon pada tahun lalu.

Ahmad Zahid menzahirkan harapan agar pencapaian luar biasa ini menjadi motivasi kepada generasi akan datang dan menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan negara.

BBerkaitan

Latest articles