‘Spiderman’ Jual Teh Ais Bantu Mangsa Banjir Dengan Cara Sendiri

 

SHAH ALAM: Meskipun perniagaannya turut terkesan akibat banjir yang melanda daerah ini baru-baru ini, namun ‘Spiderman’ ini tetap berlapang dada menerima ‘ujian sementara’ ini.

Malah Zahir Sofi, 41, tetap berkongsi sebahagian rezeki perniagaan Pati Teh Ais Avenger kepada mangsa-mangsa banjir yang datang membeli minuman dengannya.

“Memang ada kesannya, perniagaan perlahan tak seperti sebelum ini.

“Walaupun banjir melanda, namun ramai pelanggan saya pun dari kalangan mereka mangsa-mangsa banjir tetap membeli air dengan saya.

“Tetapi biasanya kita bantulah, contohnya jika mereka beli satu botol teh ais, saya akan beri satu percuma,” katanya yang ditemui The Rakyat Insight, hari ini.

Terdahulu, Zahir memaklumkan telah menceburi perniagaan teh ais botol ini sejak setahun yang lalu setelah dirinya antara jutaan rakyat yang terkesan dengan COVID-19 yang melanda sejak awal tahun 2020.

Mengakui hilang punca pendapatan sejak pandemik, beliau akui tertarik dengan strategi perniagaan ini dengan mengenakan kostum ‘superhero’ untuk menarik pelanggan.

Zahir memberitahu, pemilihan watak kebiasaannya diberikan oleh pengurusan syarikat.

“Saya mula menceburkan diri ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) yang pertama, memang ketika itu tiada pendapatan. Sebelum itu saya berniaga macam-macam, termasuk jual kereta.

“Namun sejak PKP, kita tak boleh buat apa. Kemudian saya ada ternampak iklan Pati Teh Ais Avengers di Facebook, saya tanya-tanya.

“Saya bermula sebagai ejen, dan kini sebagai stokis. Dah setahun saya mula menjual secara sepenuh masa,” katanya.

Apa yang lebih menarik adalah strategi perniagaan Pati Teh Ais Avengers ini dimana pelanggan hanya perlu membayar minuman jika dirasakan sedap.

“Cara kita menjual ni… contohnya penjual mengenakan kostum Spiderman dan jual teh ais tepi jalan, kita panggil pelanggan dan mereka berhenti.

“Kemudian kita akan beri minuman secara percuma untuk mereka rasa. Jika mereka kata sedap baru beli, jika sebaliknya tak perlu beli,” jelasnya.

Hasil tinjaun The Rakyat Insight di tapak perniagaan Zahir juga mendapati ramai pelanggan berhenti kerana tertarik dengan watak Spiderman yang dibawanya.

Lebih teruja pastinya kanak-kanak untuk bergambar kenang-kenangan.

BBerkaitan

Latest articles