Speaker Ingatkan Tidak Guna Gelaran ‘Kafir’, ‘Zionis’ Ketika Bersidang

KUALA LUMPUR: Untuk mengelakkan sensitiviti dan perasaan kecil hati, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini meminta Ahli Parlimen di kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang untuk tidak lagi menggelar individu lain “kafir”, “zionis” atau mana-mana gelaran ketika berbahas.

“Padamkanlah isu panas tersebut yang berlaku pada minggu lalu. Biarkanlah perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat berlandaskan isu demi membela nasib rakyat di luar di sana,” katanya di Dewan Rakyat.

Terdahulu pada Khamis lalu, Syahredzan Johan (PH-Bangi) menghantar usul kepada Pejabat Speaker merujuk kenyataan Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang menuduh DAP, sebagai parti kafir.

Syahredzan berkata gelaran itu telah mengguris hati beliau sebagai seorang beragama Islam yang berada di dalam parti itu, dan mahu perkara berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Johari berkata berdasarkan peraturan mesyuarat 36(10)(c) adalah salah menggunakan perkataan yang menimbulkan perasaan bersakit-sakit hati atau bermusuh-musuhan di antara satu kaum dengan kaum lain.

“Oleh itu saya menyeru semua Ahli Yang Berhormat menghentikan isu dan penyataan ‘kafir’, ‘zionis’ dan ‘Yahudi’ apatah sekarang ini dalam suasana yang tidak kondusif langsung,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan kepada wakil rakyat agar isu peribadi yang dibangkitkan di luar Dewan, tidak dibawa ke dalam kamar.

Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) kemudian bangun mencelah: “Saya setuju kalau perkataan tidak ditujukan kepada orang Islam tetapi istilah itu ditujukan untuk bukan Islam, itu semenangnya istilah dikhususkan oleh Allah untuk orang bukan Islam. Kalau ia ditujukan kepada Islam, kita pun tak setuju.”

Mengulasnya, Johari berkata: “Kalau YB ungkapkan pada kawan-kawan kita, dia merasa sedih diri. Cuba sebut orang bukan Islam … itu lebih nyaman disebut dan didengar daripada sebut kafir.

“Mulai hari ini, saat ini saya rayu sangat jangan guna perkataan yang membuatkan mereka merasa sensitif.”

BBerkaitan

Latest articles