KUALA LUMPUR: Pembangkang menafikan mereka menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menderhaka tergadap institusi diraja.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebaliknya berkata beliau tidak menyebut nama Anwar ketika sesi membahaskan usul Titah Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat, semalam.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut turut menafikan dakwaan Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers) bahawa beliau telah membuat tuduhan terhadap Anwar.
Beliau berkata, kenyataannya tentang titah itu boleh disemak semula daripada rakaman video serta senarai penyata rasmi atau hansard Parlimen.
“Saya kata kalau ada apa yang telah pun diputuskan oleh mahkamah, kalau benar mereka menyorokkan (titah adendum) itu adalah satu penderhakaan.
“Jadi, siapa yang menderhaka? Mereka yang menyorokkan (titah adendum). Mereka yang menyorok itu mungkin satu, mungkin dua, mungkin tiga. Kita tak tahu siapa,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sehubungan itu menurut Hamzah, atas sebab menegakkan keadilan maka perkara itu hendaklah disiasat untuk mengetahui siapa di pihak kerajaan yang menyorok titah tersebut.
Semalam, Pengerusi Backbenchers, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, tuduhan yang mengatakan perdana menteri menderhaka terhadap institusi diraja disifatkan sebagai satu fitnah jahat dan tidak berasas.
Menurut beliau jika ketua pembangkang melemparkan tuduhan tersebut dengan merujuk titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak, perkara itu telah dijawab oleh Anwar.
Katanya, Perdana Menteri telah menjelaskan bahawa titah tersebut tidak pernah diserahkan kepada beliau dan menegaskan bahawa urusan berkaitan titah adendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC), bukan di bawah tanggungjawab Perdana Menteri.