Songkran: Masa Untuk Eratkan Hubungan Kekeluargaan

KUALA LUMPUR: Sambutan perayaan Songkran yang diraikan masyarakat Siam di negara ini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan silaturahim dengan sahabat handai serta jiran tetangga yang berbilang bangsa, demikian menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, itu adalah asas kepada kesejahteraan yang menjadi tunjang konsep Keluarga Malaysia.

Dalam satu hantaran di Facebook, Ismail Sabri turut mengajak rakyat untuk sama-sama berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala bagi membolehkan Songkran dan perayaan lain disambut dengan lebih meriah, memandangkan negara masih berdepan ancaman pandemik COVID-19.

“Perayaan Songkran tahun ini disambut dalam suasana masyarakat masih perlu berhati-hati dengan ancaman pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kehidupan harian dan kegiatan ekonomi seluruh rakyat Malaysia serta penduduk dunia.

“Semoga masyarakat Siam khasnya dan seluruh Keluarga Malaysia amnya terus berada dalam keadaan sihat sejahtera sepanjang masa. Selamat menyambut Perayaan Songkran 2022,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pemberian cuti tanpa rekod kepada penjawat awam berketurunan Siam sempena perayaan itu juga merupakan satu keistimewaan kepada mereka yang sama-sama berusaha membangunkan negara.

“Anggaplah keistimewaan ini sebagai pengiktirafan kepada masyarakat Siam yang menjadi sebahagian daripada rakyat pribumi negara ini,” katanya.

Songkran yang terkenal sebagai festival air, adalah sambutan Tahun Baharu Thailand yang disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun.

BBerkaitan

Latest articles