KUALA LUMPUR: UMNO menegaskan sokongan dan pembelaannya terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak pernah berubah, meskipun parti itu berdepan pelbagai tekanan dan sentimen politik semasa.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha mempertahankan Najib kekal menjadi pendirian konsisten parti, termasuk solidariti yang dizahirkan oleh seluruh kepimpinan dan ahli UMNO sejak awal lagi.
Menurut beliau, dakwaan bahawa penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bertujuan menyelamatkan kepentingan peribadi atau mengkhianati setiakawan adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan hakikat sebenar perjuangan parti.
“Apabila menyebut nama Datuk Seri Najib, sokongan kita tidak pernah berubah. Usaha pembelaan kita tidak pernah goyah,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini .
Ahmad Zahid berkata, Najib turut menyampaikan salam kepada seluruh perwakilan UMNO melalui beliau, sebagai tanda ingatan dan hubungan yang kekal erat dengan keluarga besar parti.
Dalam ucapannya, beliau turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar berkenan mempertimbangkan ihsan serta keringanan terhadap Najib demi membolehkan beliau kembali ke pangkuan keluarga.
“UMNO merafak sembah menjunjung kasih agar ihsan diberikan kepada hamba Tuanku, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk sebarang pertimbangan dan keringanan,” katanya .
Ahmad Zahid menegaskan, pembelaan terhadap Najib bukan bersifat individu semata-mata, sebaliknya berpaksikan prinsip kesetiaan, keadilan dan nilai kemanusiaan yang menjadi tunjang perjuangan UMNO sejak penubuhannya.
Beliau berkata, parti itu memahami keresahan dan emosi akar umbi yang sentiasa menyuarakan sokongan terhadap Najib, dan menegaskan bahawa kepimpinan UMNO tidak pernah menutup telinga terhadap suara tersebut.
Namun katanya, setiap keputusan yang dibuat perlu berpaksikan pertimbangan negara, maslahah ummah serta kebijaksanaan dalam mengurus realiti politik semasa.
“Kesabaran adalah sebahagian daripada kekuatan. Keputusan yang kita pilih bukan keputusan yang mudah, tetapi keputusan yang dibuat dengan penuh tanggungjawab terhadap negara dan rakyat,” katanya.










