Solidariti Palestin, Kedatangan Trump – “Jangan Lebih Hamas Daripada Hamas”

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak bersikap “lebih Hamas daripada Hamas” dalam menunjukkan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang membangkitkan persoalan mengenai kemungkinan kerajaan membenarkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkunjung ke Malaysia.

Wan Ahmad Fayhsal mempersoalkan apakah kepentingan nasional yang mendorong kerajaan untuk berkompromi, sedangkan Trump didakwa antara pemimpin dunia yang membiarkan kekejaman dan genosid Israel berlaku di Gaza.

“AS ialah pihak yang mempunyai kuasa menghentikan kekejaman Israel, tetapi Trump ketika itu membiarkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza. Apakah maslahah negara yang membuatkan kita sanggup membenarkan seorang ‘penjenayah perang’ datang ke tanah air?” soalnya.

Menjawab persoalan itu, Mohamad menegaskan bahawa pendirian Malaysia terhadap Palestin tidak pernah berubah, namun kerajaan tidak akan bertindak secara melulu atau emosional dalam melaksanakan dasar luar negara.

“Malaysia sentiasa konsisten dalam memperjuangkan isu Palestin di peringkat antarabangsa. Tetapi janganlah kita jadi lebih Hamas daripada Hamas.

“Pendekatan kita ialah mencari jalan pendamaian dan penyelesaian damai,” katanya yang disambut tawa beberapa Ahli Dewan Rakyat.

Beliau menekankan bahawa dasar luar Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip diplomasi dan hubungan antarabangsa yang seimbang, termasuk dengan kuasa besar dunia, bagi memastikan suara perjuangan rakyat Palestin terus didengari di pelbagai platform global.

“Kita menyokong semua usaha yang membawa ke arah keamanan di Palestin. Objektif kita ialah membantu rakyat Palestin, bukan mencetuskan ketegangan baharu,” tambahnya.

Mohamad turut menegaskan bahawa kerajaan belum membuat sebarang keputusan atau jemputan rasmi terhadap mana-mana individu termasuk Trump untuk datang ke Malaysia.

“Soal jemput Trump atau siapa pun belum timbul. Tapi saya faham keresahan Ahli Yang Berhormat Machang.

“Cuma, biarlah kita realistik dan jangan keterlaluan hingga lebih-lebih daripada Hamas sendiri,” katanya lagi.

Timbalan Menteri itu menegaskan, Malaysia kekal tegas dalam mengutuk kekejaman rejim Zionis dan menyokong hak rakyat Palestin untuk bebas dan merdeka, namun pendekatannya kekal berasaskan diplomasi, bukan konfrontasi.

BBerkaitan

Latest articles