KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan solat jenazah ghaib bagi tokoh ulama terkenal dunia, Almarhum Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi, yang meninggal dunia semalam.
Ia akan dilakukan serentak di tiga buah masjid selepas Isyak hari ini.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, berkata solat jenazah ghaib itu akan diadakan di Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Dalam pada itu JAKIM menzahirkan ucapan takziah atas kembalinya ke rahmatullah Dr Yusuf al-Qaradawi, Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) semalam.
“Pemergian Almarhum adalah kehilangan yang amat besar dan jasa Almarhum khususnya dalam dunia keilmuan, pemikiran dan dakwah sangat memberi kesan terhadap perkembangan dan kemajuan umat di seluruh dunia.
“JAKIM turut menjemput semua Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri melalui masjid dan surau di seluruh negara turut sama mengadakan solat jenazah ghaib,” katanya dalam kenyataan.
Berita pemergian ulama tersohor dunia serta pemimpin spiritual gerakan Ikhwanul Muslimin, Yusuf al-Qaradawi, 96, itu diumumkan IUMS dan turut disahkan anak lelakinya, Abdul Rahman menerusi media sosial semalam.
Kerajaan Malaysia pernah menganugerahkan Almarhum sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun 1431H (2009).