Sokongan MP PN Terhadap Anwar Perlu Dirai, Perkara Yang Baik

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan tidak mempunyai masalah untuk menerima keputusan tiga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, V. Sivakumar turut menyifatkan keputusan itu satu perkara yang baik.

“Saya rasa Ahli Parlimen mereka boleh dan berhak untuk menyokong kerajaan, tidak ada masalah. Terdapat juga pihak yang menyatakan ada unsur paksaan dan sebagainya.

“Apa yang saya tahu dan baca menerusi media, tidak ada unsur paksaan sebaliknya mereka dengan rela hati nak sokong kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas hadir Program Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Sumber Manusia Peringkat Negeri Kelantan 2023, hari ini.

Sivakumar yang juga Menteri Sumber Manusia berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang mengumumkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri.

Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang yang juga ADUN Nenggiri Mohd Azizi Abu Naim turut mengisytiharkan menyokong kepimpinan Perdana Menteri. – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles