Sokongan MP BN Atas Kapasiti Individu, Ujar Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tidak salah untuk mana-mana Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) menyokong beliau sebagai calon Perdana Menteri, demikian menurut
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata mereka yang berkenaan bertindak secara individu dan tidak keluar daripada parti masing-masing.

“Bukan semua datang daripada BN tapi GPS, GRS, bebas (dan) tindakan itu tidak melanggar peruntukan akta itu kerana mereka tidak keluar daripada parti.

“Tetapi, mereka (bertindak) secara individu, maka ia tidak menyalahi daripada segi akta anti lompat parti,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu, malam tadi.

Reaksi Muhyiddin merujuk kepada dakwaan ahli-ahli Parlimen BN yang dikatakan telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) untuk menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

Ia susulan laporan media yang mengatakan 29 Ahli Parlimen BN kecuali Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menandatangani SD berkenaan.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, SD tersebut dipercayai ditandatangani malam tadi dengan diuruskan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Tindakan ke semua ahli Parlimen berkenaan didakwa kerana tidak bersetuju dengan pendirian Presiden UMNO yang dipercayai ingin bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam kenyataan memaklumkan mana-mana ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen.

Hal tersebut selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, ditanya mengenai mesyuarat yang diadakan pada malam ini, Muhyiddin memberitahu, ia adalah taklimat berkaitan keputusan pilihan raya dan pembentukan kerajaan baharu.

“Saya sudah keluarkan kenyataan dah jumpa Premier Sarawak dan Datuk Seri Hajiji mengenai persetujuan beri sokongan kepada Perikatan Nasional.

“Insyaallah esok saya akan dapat mengemukakan beberapa akuan bersumpah kepada mereka-mereka ini bahawa kita sudah mendapat jumlah ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles