Sokongan Berubah, Hamzah Dakwa MP Kuala Kangsar Diugut, Dijanjikan Habuan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid didakwa disabit dengan kesalahan rasuah sehingga menyebabkan beliau bertindak menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Demikian menurut Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, sambil menambah Iskandar Dzulkarnain telah diugut dan berlaku intimidasi terhadap beliau.

Kononnya Anwar mahu kerajaan pimpinannya mendapat sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.

Hamzah kemudian mendakwa Iskandar Dzulkarnain telah didatangi pihak tertentu untuk mengugut beliau.

“Pada 1 Oktober 2023, Ahli Parlimen Kuala Kangsar dibawa untuk bertemu dengan seorang pegawai tertinggi SPRM di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang telah pun disediakan lebih awal untuk menyokong Kerajaan.

“Sebelum itu, pada 26 September 2023, Ahli Parlimen Kuala Kangsar juga telah didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara,” dakwa Hamzah dalam satu kenyataan, hari ini.

Hamzah dalam pada itu mendakwa, ini adalah satu langkah penyalahgunaan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang.

Semalam media melaporkan Iskandar Dzulkarnain memutuskan untuk menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Bukan itu sahaja Hamzah berkata Iskandar Dzulkarnain dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat, jika menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Perikatan Nasional pada masa yang sama kesal di atas kenyataan media yang dibuat secara terburu-buru oleh Ahli Parlimen Kuala Kangsar. Kenyataan beliau dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeda dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti,” kata Hamzah lagi.

Hamzah memberitahu pihaknya akan memanggil Iskandar Dzulkarnain untuk mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan selanjutnya oleh Mesyuarat Biro Politik Bersatu.

BBerkaitan

Latest articles