KUALA LUMPUR: Bersatu, menerusi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan bermesyuarat malam ini untuk memutuskan status Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
Untuk rekod, Iskandar Dzulkarnain pada baru-baru ini mengumumkan menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengambil kira rintihan pengundi kawasannya dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.
Dalam pada itu Ahli MPT Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan memberitahu mesyuarat malam ini berdasarkan kepada beberapa pandangan yang diterima pihak parti berhubung dakwaan bahawa Iskandar Dzulkarnain menerima ugutan.
“Mesyuarat ini akan menghasilkan keputusan kepada reaksi pengumuman Iskandar. Saya jangka akan ada keputusan malam ini, ada beberapa pandangan yang sudah disuarakan MPT tapi malam ini akan dimuktamadkan.
“Malam ini kita akan bincang situasi yang berlaku dan apa keputusan kita terhadap pengumuman dia. Elok kita tunggu keputusan malam ini,” katanya memetik MalaysiaGazette, hari ini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada minggu lalu berkata nasib Iskandar Dzulkarnain akan ditentukan dalam mesyuarat MPT Bersatu.
Muhyiddin berkata mesyuarat itu akan membincangkan tindakan disiplin terhadap Iskandar Dzulkarnain susulan kenyataannya yang melanggar peraturan dan disiplin parti.
Dalam pada itu, Wan Saiful menambah, Iskandar Dzulkarnain ada berhubung dengan beberapa ahli MPT mengenai apa yang berlaku ke atas dirinya sebelum ini.
“Saya tidak pasti ada hubungi Muhyiddin atau tidak tapi sebelum semua ini berlaku ada beberapa perbincangan mengenai tekanan yang beliau hadapi.
“Sebelum dia buat pengumuman kita sudah tahu mengenai tekanan yang dihadapi beliau,” katanya lagi.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Ketua Pembangkang dalam satu kenyataan mendakwa Iskandar Dzulkarnain diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan berbuat demikian, akan didakwa atas kesalahan rasuah.