Soalan “Anak Diculik, Tapi Sempat Tukar Baju?” Buat Ismanira Terdiam

PETALING JAYA: Perbicaraan kes pengabaian membabitkan kanak-kanak autistik, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, memasuki fasa pembelaan apabila ibu mangsa, Ismanira Abdul Manaf, tampil sebagai saksi pertama hari ini.

Namun, suasana mahkamah menjadi tegang seketika apabila Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengasak Ismanira dengan soalan mengenai tindakannya yang didakwa sempat naik ke rumah, meletakkan barang dan menukar pakaian sebelum kembali turun mencari anaknya, walaupun mendakwa Zayn berkemungkinan telah diculik.

“Anak kamu didakwa telah diculik, tapi kamu sempat naik atas letak barang dan tukar baju?” soal Raja Zaizul dalam sesi pemeriksaan balas di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh.

Ismanira, 30, kelihatan terdiam seketika sebelum menafikan dakwaan itu dan menjelaskan dia hanya naik sebentar untuk meletakkan beg sekolah Zayn serta dua beg plastik barang dari pasar raya.

“Saya hanya naik untuk buka pintu dan letak barang. Kurang lima minit. Selepas itu saya terus cari anak di setiap tingkat apartmen,” katanya.

Ismanira turut memaklumkan bahawa pintu rumah ditinggalkan terbuka dengan harapan sekiranya Zayn pulang, dia boleh terus masuk ke dalam.

Namun, ketika ditanya mengapa tiada laporan dibuat mengenai kemungkinan penculikan semasa membuat laporan polis, Ismanira tidak memberikan jawapan yang jelas.

Pendakwaan juga mencabar keterangan Ismanira dengan merujuk kenyataan saksi pendakwaan ke-16, jiran mangsa, Rashidah Rajali, yang mendakwa terserempak dengan Ismanira dua kali pada hari kejadian.

Menurut Rashidah, dia melihat Ismanira di tangga Blok R pada jam 12.15 tengah hari dan sekali lagi pada jam 12.35 tengah hari.

Ismanira bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tidak pernah bertemu Rashidah.

“Pada waktu itu hari bekerja. Tidak ramai orang di blok ini kecuali di kedai dan gerai. Saya tidak berselisih dengan sesiapa,” katanya.

Pendakwa turut mencadangkan bahawa Ismanira dilihat menukar pakaian sambil membawa beg sekolah anaknya ketika menaiki tangga, namun dakwaan itu turut dinafikan oleh tertuduh.

Ismanira kini membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya bersama suami, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Zaim Ikhwan telah dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah Isnin lalu, selepas didapati tiada kes prima facie terhadapnya.

Kesalahan didakwa berlaku di sekitar Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai, hingga ke kawasan sungai berhampiran antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh TPR Raja Zaizul Faridah bersama TPR Aqharie Durranie Aziz dan TPR Nur Sabrina Zubairi, manakala pembelaan dikendalikan oleh Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.

Prosiding bersambung esok.

BBerkaitan

Latest articles