KOTA KINABALU, – Skuad Sukarelawan Barisan Nasional (BN) Sabah dilancarkan secara rasmi hari ini bagi membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di beberapa daerah di negeri ini melalui kerja-kerja pembersihan pasca bencana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pasukan itu sudah mula digerakkan sejak beberapa hari lalu dan akan didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan rasmi bagi memperkukuh peranannya.
“Ia inisiatif BN Sabah untuk membantu rakyat yang terjejas bencana, khususnya dalam kerja pembersihan rumah dengan menyediakan tenaga dan peralatan diperlukan. Skuad ini mula beroperasi sejak Khamis lalu ketika saya turun ke beberapa kawasan banjir dan tanah runtuh, dan hari ini kita rasmi pelancarannya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan skuad berkenaan di hadapan Bangunan UMNO Sabah, di sini, petang ini.
Turut hadir, Ketua UMNO Sabah merangkap Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahmad Zahid berkata, skuad berkenaan kini dilengkapi lapan hingga sembilan lori tangki dan peralatan ‘water jet’ untuk membantu membersihkan kawasan terjejas.
“Skuad ini akan digerakkan di 25 kawasan Parlimen di seluruh Sabah dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang akan menyelaras operasi di kawasan tertentu jika berlaku bencana,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menambah, usaha turut dilaksanakan bagi membantu rakyat yang mengalami kerosakan rumah supaya dapat dibaiki atau dibina semula.
“Saya menerima senarai rumah yang rosak teruk dan tidak boleh diduduki lagi. Usaha membina semula rumah akan diusahakan, manakala Giat MARA akan membantu kerja pendawaian semula di 4,000 rumah yang terjejas,” jelasnya.
Ahmad Zahid menegaskan, inisiatif BN Sabah itu selaras dengan konsep parti yang sentiasa bersama rakyat tanpa mengira musim.
“Kalau ada hujan dan banjir, ramai turun bantu, tetapi BN sebagai parti tanpa musim akan tetap bersama rakyat, khususnya selepas bencana,” katanya.
Skuad Sukarelawan BN Sabah juga, jelas beliau, terbuka kepada penyertaan semua pihak termasuk ahli parti lain, selain BN.
Sementara itu, Bung Moktar menyifatkan penubuhan skuad itu sebagai langkah tepat memandangkan Sabah sering berdepan bencana, khususnya antara September hingga Januari.
“Dengan keprihatinan BN, skuad ini sudah pun turun membantu mangsa membuat pembersihan di kawasan terjejas seperti Papar, Penampang, Beaufort, Kimanis dan Putatan,” katanya.