SKSPS inisiatif kerajaan bantu golongan bekerja sendiri – Adham Baba

KOMITMEN kerajaan membantu rakyat yang bekerja sendiri dan bergantung mata pencarian melalui ekonomi gig sangat bermakna dan memberi manfaat kepada pihak terlibat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang diperkenalkan kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) misalnya menyediakan perlindungan secara percuma selama setahun kepada golongan berkenaan.

“Pendaftaran adalah percuma dan pekerja tidak perlu membayar caruman RM232.80 untuk tahun pertama seperti yang selalu dikenakan kepada pencarum.

“Dalam hidup yang kini perlu amalan norma baharu, khidmat penghantaran makanan dan barangan sangat diperlukan. Golongan yang bekerja untuk ini tentunya memerlukan perlindungan daripada pelbagai risiko seperti kemalangan.

“Untuk itu SKSPS ini kerajaan berikan percuma untuk membantu mereka yang terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat kuasa,” katanya selepas meninjau perjalanan pendaftaran SKSPS di Sanggar Kota, Tenggara, hari ini.

Inisiatif kerajaan menerusi SKSPS yang dilaksana sejak Januari lalu diperluaskan kepada 19 sektor iaitu Pengangkutan Barangan Makanan, Pertanian, Penternakan, Perhutanan, Perikanan, Makanan, Pembuatan, Pembinaan, Penjaja, Premis Penginapan dan Perniagaan Online.

Bidang lain ialah Teknologi Maklumat, Pemprosesan Data, Ejen, Perkhidmatan Profesional, Perkhidmatan Sokongan, Kesenian, Perkhidmatan Isi Rumah swrta Penjagaan Rawatan dan Pemulihan Kesihatan.

Pendaftaran SKSPS percuma oleh kerajaan itu ditawarkan kepada golongan yang berpendapatan RM1,050 sebulan.

BBerkaitan

Latest articles