SKMM Rampas Telefon, Kad SIM Lelaki Didakwa Komen Hina Institusi Diraja

PETALING JAYA: Seorang lelaki disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas disyaki memuat naik komen jelik dan melampau terhadap institusi diraja, dipercayai berkait isu pelantikan Ketua Hakim Negara baru-baru ini.

Menurut kenyataan SKMM hari ini, rakaman percakapan suspek telah diambil di Balai Polis Kampung Melayu Subang, Selangor, bagi membantu siasatan.

“Turut disita daripada suspek ialah seunit telefon bimbit dan satu kad SIM untuk dianalisis,” kata SKMM.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

SKMM turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa beretika dan bertanggungjawab ketika menggunakan media sosial.

“Elakkan daripada menyebarkan kandungan berunsur jelik, hasutan atau fitnah yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan ketenteraman awam, khususnya yang menyentuh institusi diraja,” tegas kenyataan itu.

Terdahulu, pelantikan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara diumumkan minggu lalu, menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara awal bulan ini.

Yang di-Pertuan Agong turut memperkenankan pelantikan Hakim Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, dan Hakim Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

BBerkaitan

Latest articles