SKMM Kenakan Kompaun RM250,000, Era FM Tidak Digantung

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak menggantung lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan stesen radio Era FM.

Bagaimanapun, kompaun sebanyak RM250,000 dikenakan badan itu ke atas syarikat berkenaan atas kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.

“Dalam membuat keputusan ini, SKMM turut mempertimbangkan tindakan susulan yang telah diambil oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit, serta kesan penggantungan terhadap stesen radio lain di bawah lesen yang sama, iaitu Melody dan Mix FM,” menurut kenyataan SKMM hari ini.

Menurut suruhanjaya itu, kompaun tersebut dikeluarkan selepas mendapat izin daripada Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu, Maestra Broadcast Sdn Bhd mengemukakan rayuan kepada SKMM susulan notis niat penggantungan lesen yang dikeluarkan pada 7 Mac lalu.

SKMM dalam kenyataannya turut mengingatkan semua pengendali dan pengguna platform digital agar bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum serta agama di negara ini.

“SKMM memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mencetuskan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” katanya.

Keputusan SKMM ini berkait dengan kontroversi melibatkan tiga penyampai radio Era FM – Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin Amir Affendy – yang didakwa mempersenda tarian kavadi, satu upacara suci penganut Hindu semasa sambutan Thaipusam.

Video tersebut mencetuskan bantahan meluas sehingga SKMM mengeluarkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada Maestra Broadcast.

Bagaimanapun, ketiga-tiga penyampai radio tersebut telah tampil memohon maaf secara terbuka di Kuil Batu Caves sebagai usaha meredakan ketegangan.

BBerkaitan

Latest articles