SKMM Kena Jelaskan Perbezaan Hukuman Kes Hina Agama – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberikan penjelasan mengenai perbezaan hukuman dan kompaun berkaitan kes penghinaan agama.

Menurut beliau, penting bagi semua pihak memahami perubahan terhadap akta dan undang-undang yang telah diluluskan sebelum ini, sekali gus menjelaskan mengapa terdapat perbezaan dalam hukuman yang dikenakan.

“Salah faham atau penyebaran maklumat yang tidak tepat mengenai perkara ini boleh mencetuskan persepsi tidak sihat. Ketika ini, semua pihak seharusnya terus menyemai keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat,” katanya.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, memaklumkan bahawa perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini.

Keputusan dan hasil perbincangan dijangka akan diumumkan oleh Menteri Komunikasi pada sebelah petang.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut menasihati tiga penyampai radio Era FM semasa Majlis Iftar Bersama Pengamal Media semalam.

Menurut Tunku Nashrul Abaidah, Perdana Menteri mengingatkan mereka agar sentiasa membawa mesej perpaduan dalam setiap tugasan harian mereka.

“Nasihat Perdana Menteri bukan hanya kepada mereka, tetapi kepada semua pihak agar menjadi ejen perpaduan. Ini bagi membantu usaha Kerajaan Madani menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, agama, kaum, dan bangsa,” katanya.

Beliau menambah bahawa Perdana Menteri berharap rakyat Malaysia dapat menamatkan polemik berkaitan isu tersebut dan terus bergerak ke hadapan demi memastikan keharmonian serta sikap saling menghormati dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menghargai usaha pihak-pihak yang telah menghentikan sebarang unsur negatif atau cubaan untuk mengeruhkan keadaan.

BBerkaitan

Latest articles