SKM Sedia Bantuan Modal RM1 Juta Untuk Koperasi Terjejas Banjir

PUTRAJAYA: Dalam usaha membantu koperasi yang terkesan kerana banjir baru-baru ini, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan peruntukan bantuan permulaan RM1 juta, dengan RM30,000 maksimum bagi setiap koperasi yang layak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, berkata bantuan itu tidak terhad untuk premis koperasi yang terjejas akibat banjir saja, tetapi juga bagi membiayai kerosakan serta kerugian prasarana di tapak pertanian, perladangan dan penternakan yang diusahakan oleh koperasi yang terjejas.

Noh, dalam masa yang sama turut mengumumkan insentif pengurangan pemindahan Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) untuk koperasi, daripada 15 peratus kepada lapan peratus daripada untung bersih teraudit selepas pelarasan operasi.

“Ini akan memberi pengurangan kepada koperasi sebanyak tujuh peratus yang boleh dimanfaat untuk memulihkan perniagaan koperasi yang terjejas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noh berkata, inisiatif itu diberi kepada koperasi mulai tahun kewangan 31 Disember 2021 hingga 30 November 2022.

Malah, SKM turut membenarkan koperasi di negeri yang terjejas dengan banjir, untuk menangguhkan pengauditan akaun koperasi disebabkan kemusnahan dokumen perakaunan akibat bencana alam itu.

“Penangguhan ini juga tidak menolak kemungkinan koperasi terpaksa menangguhkan mesyuarat agung tahunan ke satu tempoh akan ditetapkan kemudian, sehingga semua urusan pascabanjir selesai sepenuhnya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles