Skim pensijilan produk NanoMalaysia bantu percepatkan pertumbuhan teknologi nano

Agensi terkemuka dalam bidang teknologi nano dan pengkomersialan penyelesaian termaju, NanoMalaysia Bhd melancarkan dua skim persijilan produk, ‘NANOTrust’ dan ‘GRAPHENEVerify’.

Skim di bawah Program NANOVerify ini akan memudahkan dan mempercepatkan pertumbuhan teknologi nano di Malaysia dengan meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap produk yang mengandungi teknologi tersebut.

NanoMalaysia dalam kenyataan hari ini berkata, kedua-dua skim memberikan peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai produk mengandungi nano mendapatkan kepercayaan kredibel bagi menembusi pasaran lebih luas, sama ada dalam atau di luar negara.

Katanya, ia sekali gus menyumbang kepada penciptaan ekosistem nanoteknologi yang dinamik dan progresif, termaktub dalam Dasar dan Strategi Kebangsaan Nanoteknologi 2021-2030 (DSNN), untuk menangani pelbagai cabaran serta memacu industri nanoteknologi dan graphene Malaysia ke hadapan.

“Dalam dua Rancangan Malaysia yang lepas, negara telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam membangunkan industri nanoteknologi.

“Malaysia telah menubuhkan dirinya sebagai pusat pengiktirafan bagi penyelidikan, pembangunan, dan komersialisasi nanoteknologi, dengan kumpulan penyelidik yang terampil, institusi penyelidikan bertaraf dunia, serta persekitaran dasar yang menyokong,” katanya.

Terdahulu, pelancaran skim NANOTrust dan GRAPHENEVerify dirasmikan ooleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Arthur Joseph Kurup, yang turut dihadiri Pengerusi NANOVerify Sdn Bhd, Datuk Fadilah Baharin dan Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr Rezal Khairi Ahmad.

Menurut NanoMalaysia, kedua-dua skim itu menekankan penempatan produk nano berkualiti di pasaran sambil menangani kebimbangan tentang tuntutan produk.

Katanya, inisiatif tersebut juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam membina infrastruktur berdaya tahan dan memupuk inovasi.

“Industri berteknologi tinggi, termasuk nanoteknologi, telah terbukti lebih tahan lasak dalam krisis berbanding dengan industri berteknologi rendah,” katanya.

Tambah kenyataan itu, MOSTI mengiktiraf potensi nanoteknologi yang sangat luas dan jauh mencapai, baik dari segi inovasi mahupun ekonomi.

“MOSTI dengan bangganya menyokong NanoMalaysia dan NanoVerify dalam pelaksanaan skim ini, yang dijangka memberikan sokongan kepada lebih daripada 1,000 segmen produk nanoteknologi serta graphene tempatan, dengan nilai kolektif yang dijangka mencapai RM640 juta menjelang 2025,” katanya

BBerkaitan

Latest articles