More

    Skim I-Sinar KWSP Benarkan Pencarum Keluarkan Wang Hingga RM60,000

    Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan skim i-Sinar, iaitu pengeluaran wang dalam akaun 1 untuk pencarum yang terjejas dengan COVID-19.

    Skim itu akan memberi manfaat kepada dua juta pencarum, dengan anggaran dana berjumlah RM14 bilion.

    “Secara umum, ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100,” demikian memetik kenyataan KWSP.

    Secara lanjutnya, pencarum dengan baki RM90,000 ke bawah dalam akaun 1, mereka mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000 dengan pengeluaran pertama sehingga RM4,000.

    Manakala bagi pencarum yang mempunyai baki RM90,000 ke atas dalam akaun 1 pula, jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan adalah RM60,000 dengan pengeluaran pertama sehingga RM10,000.

    Pengeluaran akan dibuat secara berkala sehingga enam bulan.

    Permohonan boleh dilakukan mulai Disember ini, dengan pengeluaran pertama bermula Januari 2021.

    Pencarum yang layak merangkumi mereka yang hilang kerja, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

    Bagaimanapun, pemohon i-Sinar perlu menggantikan semula wang yang dikeluarkan menerusi caruman pada masa akan datang.

    Skim ini berbeza berbanding i-Lestari yang turut ditawarkan KWSP sebelum ini.

    “Caruman baru akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula. 

    “Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus bagi Akaun 1 dan 30 peratus bagi Akaun 2,” katanya.

    KWSP juga menggalakkan pencarum yang ingin membuat permohonan mendapatkan nasihat kewangan daripada pihaknya atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), untuk menentukan jumlah yang ingin dikeluarkan.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini