KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdepan tamparan hebat selepas dikenakan denda RM1.8 juta oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), selain tujuh pemain naturalisasi negara digantung setahun kerana didakwa terlibat dalam isu pemalsuan dokumen.
Bagaimanapun, FAM menegaskan pihaknya tidak pernah berniat menipu dan akan memfailkan rayuan bagi mempertahankan integriti bola sepak negara.
FIFA mendapati dokumen yang dikemukakan ketika semakan kelayakan tujuh pemain naturalisasi Malaysia mengandungi pemalsuan.
Perkara itu terbongkar selepas menerima aduan mengenai kelayakan lima daripada pemain terbabit sejurus tamat perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu iaitu perlawanan yang menyaksikan Malaysia menang besar 4-0.
Selain denda terhadap FAM, tujuh pemain terlibat iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano turut dihukum denda RM10,400 seorang serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.
FIFA turut merujuk isu kelayakan mereka ke Tribunal Bola Sepak FIFA untuk pertimbangan lanjut.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, dalam kenyataan rasmi mengesahkan pihaknya menerima keputusan tersebut tetapi menegaskan semua urusan dokumentasi sebelum ini dilakukan secara telus.
“FAM dan pemain terbabit bertindak dengan niat baik serta penuh ketelusan sepanjang proses ini. Malah, FIFA sendiri sebelum ini mengesahkan kelayakan mereka untuk beraksi bersama skuad kebangsaan,” katanya.
Menurutnya, FAM akan menggunakan semua saluran perundangan untuk merayu dan membela kepentingan pasukan Harimau Malaya.
“Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan supaya proses ini dijalankan secara adil, telus dan mengikut semangat kesukanan,” tambahnya.