KOTA BHARU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiada keperluan untuk kerajaan mengisytiharkan darurat iklim memandangkan situasi banjir masih terkawal.
Sebaliknya pengisytiharan darurat iklim melibatkan proses dan keadaan tertentu, selain penilaian yang perlu dibuat oleh pihak bertanggungjawab bagi membuat keputusan apabila tiba masanya.
“Buat masa ini saya fikir keseluruhan operasi terkawal serta berjalan baik.
“Hal itu juga diberi laporan secara berkala termasuk semalam semasa mesyuarat jemaah menteri di mana Timbalan Perdana Menteri selaku individu yang dipetanggungjawabkan memberi laporan yang komprehensif,” katanya di sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan banjir (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pasir, hari ini.
Hadir sama adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Baru-baru ini Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan supaya pengisytiharan darurat iklim dan menggerakkan usaha yang radikal bagi membincangkan langkah-langkah mitigasi banjir segera untuk membendung dan mengurangkan risiko dan impak banjir yang sedang melanda negara terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pihaknya turut menyediakan tambahan tiga aset udara kepada Kelantan dan Terengganu.
“Aset tambahan udara yang saya minta dari pasukan polis sediakan adalah dua unit di Kelantan dan satu unit di Terengganu,” katanya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, beliau juga menggesa supaya mangsa yang terbabit dengan banjir memberi kerjasama kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas.
“Sekiranya diminta untuk berpindah segera, mangsa banjir perlu akur dan jangan berlengah kerana ia boleh mengancam nyawa.
“Pada masa sama, PPS yang menempatkan mangsa banjir juga jangan terdedah kepada penyakit selepas banjir terutamanya disebabkan sumber air bersih terjejas dan ia perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan melalui agensi bertanggungjawab,” katanya.