Siti Nurhaliza Dianugerahkan Gelaran Biduanita Negara di Anugerah Seni Negara 2024

Dato’ Sri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa syukur atas penganugerahan sebagai Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024, satu penghormatan tinggi dalam industri seni tanah air. Penghargaan ini disampaikan oleh kerajaan, khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi.

“Saya melihat anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian kerjaya seni saya, namun sebagai simbol penghargaan kepada semua insan seni yang memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanah air,” kata beliau dalam satu kenyataan. Penghormatan ini, menurut beliau, merupakan tanggungjawab untuk terus memartabatkan seni dan budaya, terutamanya dalam bidang muzik.

Dato’ Sri Siti Nurhaliza juga mengucapkan syukur kepada Allah SWT atas bakat yang dikurniakan, yang membolehkannya menyebarkan nilai-nilai positif, inspirasi, dan pengaruh yang baik melalui seni. “Seni juga menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa, dan negara,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau mengenang pesan arwah ayahnya, Allahyarham Tarudin Ismail, yang sering menyamakan dirinya dengan bunga melur – lambang kesederhanaan namun penuh pesona.

Penghargaan Buat Peminat, Keluarga dan Industri

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada mereka yang menjadi tulang belakang kerjaya seninya, termasuk suami, anak-anak, ibu, keluarga, dan semua pihak yang menyokong perjalanan kariernya selama 29 tahun. Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada syarikat rakaman, penerbit, komposer, penulis lirik, serta para peminat yang setia.

Beliau menutup kenyataannya dengan harapan bahawa penganugerahan ini menjadi inspirasi untuk terus menghasilkan karya terbaik dan membawa seni muzik Malaysia ke tahap lebih tinggi.

BBerkaitan

Latest articles