Siti Mastura Disiasat Atas Isu 3R, Kini Persoal Tindakan Ke Atas Kenyataan “Gelombang Hijau” Guan Eng

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad berkata dirinya disiasat di bawah isu 3R (Raja, Agama, Kaum) atas kenyataannya berhubung dakwaan Lim Guan Eng mempunyai kaitan kekeluargaan dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng dan Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew.

Ditemui pemberita di perkarangan Bukit Aman selepas sejam disoal siasat, Siri Mastura memberitahu beliau ditanya 10 soalan daripada pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

“Mudah-mudahan segala keterangan yang diberikan dapat memudahkan segala urusan. Kita telah berikan keterangan yang diminta dan kita akan teruskan apa yang sepatutnya atas nasihat peguam saya.

“Kalau berkaitan dengan isu saya ini, isu 3R,” katanya.

Bagaimanapun dalam masa yang sama, Siti Mastura membangkitkan persoalan tindakan pihak berkuasa ke atas Guan Eng semasa kempen pilihan raya negeri Kedai Julai lalu.

Beliau mendakwa Ahli Parlimen Bagan iti membuat kenyataan ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sementara itu peguam yang mewakili Siti Mastura iaitu Ahmad Amzar Ahmad Azlan memberitahu pihaknya telah mengemukanya beberapa bahan bukti atas percakapan Siti Mastura di Kemaman, baru-baru ini.

“Kita ada beberapa bahan rujukan yang telah kita kumpul dan serahkan tadi. Sama ada bahan tersebut relevan atau tidak, kita serahkan kepada polis untuk buat siasatan,” katanya dalam sidang media sama.

Dalam pada itu, Ahmad Amzar berkata, anak guamnya berpandangan kenyataan itu adalah seperti yang diungkapkan ketika itu.

“Buat masa ini, kenyataan itu seperti yang dibuat dan biar pihak polis buat siasatan. Sekiranya ada apa tindakan berlainan kita akan teliti selepas kita buat penelitian.

“Sama ada kenyataan itu akan diubah ataupun ditarik mahupun permohonan maaf ataupun lawan, selepas kita teliti (tuntutan). Kita baru terima surat tersebut dan kita belum sempat nak bincang.

“Buat masa ini kenyataan seperti yang dikatakan. ‘As it is’. Seperti yang telah dicakap (oleh Siti Mastura) tiada perubahan,” kata Ahmad Amzar lagi.

Dalam pada itu Siti Mastura telah menerima empat surat tuntutan (LOD) daripada empat individu berbeza iaitu dari Tan Sri Lim Kit Siang; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; isteri kepada Guan Eng, Betty Chew dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

“Keempat-empat mereka telah menghantar surat tuntutan kepada pejabat Siti Mastura dan kita akan teliti, tindakan susulan akan dibuat setelah diteliti tuntutan itu.

“Buat masa ini kita belum teliti apa tuntutan tapi berkemungkinan berkait rapat dengan ucapan Siti Mastura,” jelas Ahmad Amzar lagi.

Untuk rekod, setakat ini enam laporan telah diterima terhadap Siti Mastura dan kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 10 November lalu, Guan Eng bertindak menyaman Siti Mastura selepas tempoh 48 jam diberikan untuk mengemukakan bukti gagal digunakan wakil rakyat PAS itu.

Sebelum itu Siti Mastura mendakwa Pengerusi DAP itu mempunyai hubungan keluarga dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, dan Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew.

Dalam rakaman video berdurasi 46 minit 51 saat, Siti Mastura pada majlis ceramah politik di Kemaman, Terengganu didakwa mengaitkan Kit Siang sebagai sepupu Chin Peng.

Selain itu, beliau juga mendakwa Kuan Yew sebagai sepupu Kit Siang dan mengaitkan isteri Guan Eng, Betty Chew bersepupu dengan Teresa Kok.

Beliau juga didakwa mengaitkan pemimpin DAP lain, termasuk Setiausaha Agungnya merangkap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan.

BBerkaitan

Latest articles