More

    Siti Bainun Kini Tiada Peguam, Sebak Selepas Semua Tarik Diri

    KUALA LUMPUR: Dua lagi peguam Siti Bainun Ahd Razali menarik diri daripada mewakili pengasas Rumah Bonda itu pada prosiding bela diri beliau atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

    Mereka ialah Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil.

    Semalam, A’minahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Razif, kesemuanya daripada firma guaman berbeza, telah menarik diri daripada mewakili Siti Bainun sekali gus menjadikan tertuduh kini tidak mempunyai peguam.

    Pada prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memaklumkan Siti Bainun bahawa mahkamah telah menerima notis penarikan diri yang difailkan oleh Nurul Hafidzah dan Asiah semalam.
    “Saya menerima notis pada 9 malam tadi. Saya akan beri tarikh dan kamu kena lantik peguam baharu secepat mungkin. Kalau kamu rasa kecewa dan tidak berpuas hati dengan peguam-peguam itu, kamu boleh membuat aduan kepada Majlis Peguam Malaysia.

    “Sekarang kamu tinggal keseorangan dan tidak ada peguam, jadi saya boleh mempertimbang perkara itu. Saya tiada masalah kalau peguam menarik diri,” kata beliau dan Siti Bainun dilihat sebak sambil mengesat air mata susulan penarikan diri dua lagi peguamnya.

    Izralizam turut menasihati Siti Bainun untuk melantik peguam baharu kerana beliau berhak membela diri namun perlu mematuhi prosedur, perintah dan arahan mahkamah bagi melancarkan perjalanan kes itu.

    “Saya juga tidak mahu ada isu kamu tidak diberikan peluang secukupnya untuk membela diri dan kamu boleh dapatkan dokumen-dokumen untuk perbicaraan dalam minggu ini daripada lima firma tersebut dengan segera sebab kamu yang perlu jawab nanti.

    “Jangan lantik tiga hingga empat firma… kalau dapat seorang pun tak mengapa, janji peguam itu boleh memberi komitmen. Kamu kena cari peguam lain kerana keadilan bukan kepada kamu sahaja tetapi pada mangsa dan pihak-pihak terlibat.

    “Jika peguam masih tidak dilantik, saya terpaksa jalankan kes tanpa peguam,” kata hakim itu.

    Bagaimanapun, Siti Bainun berkata beliau telah mengisi borang dengan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan dan akan mencari peguam lain.

    Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas pula memaklumkan mahkamah bahawa ini adalah kali kedua Nurul Hafidzah menarik diri daripada mewakili kes itu dan penarikan diri di saat akhir merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

    Mahkamah kemudian menetapkan 26 dan 27 Jan ini untuk prosiding bela diri dan tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu esok hingga Jumaat dilapangkan.

    Pada 24 Nov tahun lepas, Izralizam memerintahkan Siti Bainun membela diri atas kedua-dua pertuduhan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

    Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – BERNAMA

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini