Sistem Pendidikan Malaysia Masih Ketinggalan – Tun M

Berbanding negara luar, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kaedah pendidikan di Malaysia masih terkebelakang kerana tidak menggunakan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Bekas Perdana Menteri itu berkata Malaysia masih terikat dengan kaedah lama dan tradisional dengan melibatkan guru dan murid di dalam kelas.

Beliau berkata, adalah lebih baik apabila pelajar di seluruh negara dididik dan diajar oleh seorang guru berkualiti, menggunakan sistem rakaman dan dipancarkan di setiap kelas di seluruh negara.

Ujar Dr Mahathir lagi guru yang ada boleh bertindak sebagai penyelaras bagi membantu memahamkan pendidikan murid.

“Saya setuju keadaan pelajaran di dalam negara tidak menepati kehendak negara, sebab itu kita perlu kaji semula sistem pendidikan. Kita masih terperangkap dalam cara lama, di zaman ini kita boleh dapatkan guru terbaik, buat rekod tentang pelajaran dan siarkan di dalam kelas.

“Di zaman ini, kita ada teknologi moden, kita tidak guna teknologi moden untuk mengajar. Kita masih mengajar menggunakan guru di dalam kelas, kalau guru yang baik untunglah pelajar tetapi kalau guru tidak baik, maka rugilah pelajar,” katanya dalam dialog anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), bertajuk “Masa Depan Malaysia Ke Mana Kita?”.

Sistem pendidikan negara beberapa kali dikritik kerana masih tidak mencari penyelesaian terbaik, terutama ketika Malaysia dilanda wabak COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) diperkenalkan kembali selepas ia dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu.

Dalam sesi dialog itu, Dr Mahathir berkata dirinya percaya pelbagai kaedah terbaik boleh diaplikasi oleh huru dan murid, sebagai contoh menggunakan YouTube, yang menurutnya boleh memberi pelbagai manfaat kepada pelajar di seluruh negara sekiranya digunakan secara berilmiah.

“Sekarang ini kita boleh belajar semua perkara melalui YouTube, dalam YouTube apa-apapun boleh diajar. Semuanya boleh diajar. Kita petik butang itu, apa yang kita hendak. Kita boleh tukar cara baharu dan tukar cara lama, dan boleh juga rekod pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles