KUALA LUMPUR3 Kegagalan sistem brek bas serta pemanduan pada kelajuan berlebihan dikenal pasti sebagai punca utama nahas maut yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53, Jalan Raya Timur–Barat (JRTB), Gerik–Jeli pada 9 Jun 2025.
Menurut Laporan Akhir Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan, bas persiaran terbabit mengalami kerosakan serius pada komponen brek belakang sebelah kiri, termasuk kehausan dan perubahan bentuk brake drum di bawah spesifikasi pengeluar, selain pencemaran gris dan minyak pada brake lining.
Laporan setebal 188 muka surat itu turut mendedahkan, bas dipandu melebihi kelajuan selamat ketika menuruni cerun, dengan anggaran kelajuan sekitar 114.7 km/j, jauh melebihi had dibenarkan 60 km/j, sekali gus melepasi ambang kritikal untuk kejadian gelinciran dan terbalik.
“Penggunaan brek secara agresif pada kelajuan tinggi menyebabkan peningkatan suhu mendadak, mempercepat degradasi haba dan mengurangkan keberkesanan brek secara progresif,” menurut laporan itu.
Gabungan kegagalan brek dan kelajuan berlebihan menyebabkan bas hilang kawalan, tergelincir dan terbalik sebelum menghentam penghadang jalan jenis W-beam, yang kemudiannya menembusi ruang kabin dan mengakibatkan kecederaan parah serta kematian penumpang.
Siasatan juga mendapati kerja penyelenggaraan bas, termasuk penggantian brake lining dan bearing hub, dilakukan oleh bengkel tidak bertauliah, meskipun rekod menunjukkan penyelenggaraan pernah dilaksanakan.
Nahas berlaku kira-kira jam 1.10 pagi, melibatkan bas milik Kenari Utara Travel & Tours Sdn. Bhd. yang membawa 42 pelajar UPSI dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.
Bas dipercayai hilang kawalan di laluan berbukit dan berselekoh sebelum melanggar sebuah Perodua Alza yang dinaiki empat sekeluarga.
Akibat kemalangan itu, 15 pelajar UPSI terkorban, manakala pemandu bas, penumpang lain serta penumpang MUV terbabit mengalami kecederaan pelbagai tahap.
Laporan turut menegaskan faktor persekitaran memperburuk keadaan, termasuk laluan menurun curam tanpa lampu jalan, jarak penglihatan terhad, garisan jalan pudar, permukaan jalan rosak serta penghadang W-beam yang tidak dipasang mengikut spesifikasi keselamatan.
Selain itu, ketiadaan sistem pemantauan kelajuan seperti GPS, kegagalan struktur kabin bas, serta ketiadaan tali pinggang keselamatan penumpang dikenal pasti meningkatkan tahap kecederaan mangsa.
Kesimpulannya, laporan menyatakan tragedi itu berpunca daripada gabungan faktor mekanikal, kesilapan manusia, kelemahan infrastruktur serta kegagalan kawal selia industri pengangkutan pelancongan.
“Kesemua faktor ini secara kolektif telah menyumbang kepada insiden tragis yang meragut 15 nyawa pelajar,” menurut laporan berkenaan.
gagalan kawal selia industri pengangkutan pelancongan.
“Kesemua faktor ini secara kolektif telah menyumbang kepada insiden tragis yang meragut 15 nyawa pelajar,” menurut laporan berkenaan.










