Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Bakal Kurangkan Kesesakan di Johor

Johor Bahru, 14 Januari – Kerajaan negeri Johor telah mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan sistem aliran transit automasi (ART) bertingkat sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan lalu lintas di ibu negeri. Langkah ini melibatkan tiga kawasan utama, iaitu Skudai, Iskandar Puteri, dan Tebrau.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, pelaksanaan ART dijangka dapat mengurangkan kesesakan dengan ketara di sekitar pusat bandar raya Johor Bahru.

“Kami masih dalam peringkat penelitian dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) bagi memastikan keberkesanan cadangan ini. Namun, sasaran kami adalah untuk menyelesaikan projek ini menjelang Disember 2026,” katanya lapor Portal FMT.

Beliau turut menjelaskan bahawa projek ART dijangka menelan kos sekitar RM7 bilion hingga RM8 bilion, jauh lebih rendah berbanding transit aliran ringan (LRT) yang dianggarkan menelan RM16.7 bilion.

“Keputusan memilih ART dibuat berdasarkan faktor kos yang lebih rendah dan keberkesanan dalam meningkatkan mobiliti bandar,” tambahnya.

Pelaksanaan ART turut diselaraskan dengan projek sistem transit rapid (RTS) yang akan menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands, Singapura. RTS dijadualkan mula beroperasi pada 2027, menjadikan ART sebagai sistem pengangkutan pelengkap kepada projek tersebut.

Dengan perancangan ini, kerajaan negeri optimis bahawa Johor Bahru akan memiliki sistem pengangkutan awam yang lebih efisien, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.

BBerkaitan

Latest articles