Sirul Dipakai Peranti Pemantauan, Bebas Dari Pusat Tahanan Imigresen

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Australia memakaikan peranti pemantauan kepada bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang dilepaskan dari pusat tahanan imigresen di negara itu, bagi memantau keberadaannya.

Pasukan Sempadan Australia (ABF) dilaporkan berkata, peranti elektronik dan sekatan pergerakan itu antara syarat ditetapkan kepada bekas tahanannya, seperti mana tertakluk mengikut Akta Migrasi dan Peraturan Migrasi negara itu.

“Mereka yang disabitkan bersalah dengan jenayah kekerasan seperti bunuh, rogol dan pedofilia wajib memakai gelang itu, mematuhi sekatan pergerakan ketat serta ‘keperluan pelaporan dan penglibatan’,” katanya memetik laporan sebuah laman portal, hari ini.

Sirul Azhar, antara 140 tahanan bukan warga Australia yang dilepaskan selepas Mahkamah Tinggi di negara itu pada 8 November lalu memutuskan bahawa penahanan imigresen tanpa had menyalahi undang-undang.

Selepas dibebaskan, Sirul Azhar yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006, dalam temu bual bersama media antarabangsa merayu untuk meneruskan kehidupan di Australia, sambil menyatakan berbahaya kepadanya jika kembali ke Malaysia.

Dalam wawancara eksklusif bersama Aljazeera English 101 East itu, Sirul Azhar mendakwa dijadikan kambing hitam dan diperangkap dalam permainan politik, serta mengaku menerima RM1 juta ketika berada di Australia daripada sumber tidak dinamakan untuk tujuan ‘menutup mulut.’

Keputusan Sirul Azhar untuk kekal tinggal di Australia itu sekali gus menyukarkan pihak berkuasa Malaysia mengekstradisi beliau ke negara ini, sekali gus menyiasat dakwaannya menerima RM1 juta untuk menutup mulut tidak boleh dilakukan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kelmarin memberitahu, sukar untuk pihak berkuasa mengekstradisi beliau selagi dia tidak mengemukakan permohonan semakan hukuman mati ke atasnya berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia itu.

BBerkaitan

Latest articles