PASIR MAS: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah terbesar tahun ini dengan rampasan pil kuda seberat 35.4 kilogram bernilai RM5.04 juta hasil enam serbuan di sekitar Pasir Mas dan Tumpat, Jumaat lalu.
Operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama kontinjen Kelantan itu juga membawa kepada penahanan lima lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 25 hingga 39 tahun, dipercayai anggota utama sindiket yang aktif sejak 2022.
Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, serbuan pertama berjaya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di Jalan Gajah Mati, Banggol Chica bersama 115 gram pil kuda yang disorok dalam kereta Perodua Axia.
“Pemeriksaan lanjut di rumahnya menemui lagi 112 gram pil kuda, sebelum kandang lembu di belakang rumahnya ditemukan 20 kilogram pil kuda disembunyikan dalam timbunan najis lembu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, hari ini.
Dalam serbuan serentak, seorang lagi lelaki ditahan bersama Toyota Hilux miliknya dengan rampasan 15.4 kilogram pil kuda, manakala empat lagi termasuk seorang wanita yang juga isteri kepada suspek pertama ditahan di rumah sekitar Pasir Mas dan Tumpat.
Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menjadikan keuntungan penjualan dadah sebagai modal membuka beberapa perniagaan seperti restoran makanan laut di Tanah Merah, salon kecantikan serta perniagaan dalam talian.
“Kita percaya ini sebahagian daripada aktiviti ‘money laundering’ untuk mencuci wang haram,” kata Mat Zani.
Menurut sumber polis, siasatan juga sedang memperluas tumpuan terhadap beberapa individu berpengaruh (influencer tempatan) yang dipercayai bekerjasama dengan sindiket ini dalam mempromosikan produk dalam talian bagi menutup asal-usul dana mereka.
Difahamkan, beberapa influencer popular di Kelantan dan Kuala Lumpur dikesan sering menghadiri majlis atau ‘private event’ yang ditaja oleh individu berkait dengan sindiket ini, dipercayai sebagai sebahagian taktik mempopularkan perniagaan yang digunakan untuk mencuci wang dadah.
Sindiket ini disyaki memasarkan dadah ke seluruh Kelantan, Lembah Klang dan Johor Bahru dengan mensasarkan remaja serta pelajar sebagai pelanggan utama.
“Modus operandi mereka sangat licik, menggunakan kandang lembu sebagai stor sebelum diedar,” ujar Mat Zani.
Selain dadah, polis turut menyita beberapa kereta mewah, barang kemas, beg berjenama dengan anggaran nilai keseluruhan lebih RM1.1 juta.
Semua suspek kini direman sehingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
“Walaupun ujian air kencing kesemua suspek negatif, semakan mendapati dua daripada mereka ada rekod lampau termasuk penyalahgunaan dadah. Kita akan terus buru saki-baki sindiket ini,” katanya.
Polis dalam masa sama menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah bagi membantu membanteras jenayah ini yang jelas membawa ancaman serius kepada masyarakat.