Sindiket Pemalsuan Dokumen Kelahiran Turut Berkait Dengan Penyeludupan Kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Satu sindiket pemalsuan dokumen kelahiran yang dikaitkan dengan aktiviti penyeludupan kanak-kanak dari luar negara telah dibongkar, dengan seorang doktor bergelar ‘Datuk Seri’ antara yang ditahan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mendedahkan bahawa sindiket ini memiliki rangkaian dalam dan luar negara bagi menghasilkan dokumen palsu yang seakan-akan sah daripada fasiliti kesihatan swasta berdaftar.

“Dokumen ini digunakan untuk mendapatkan sijil kelahiran rasmi di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebelum dijual di pasaran gelap bagi memberikan status warganegara kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai pengenalan diri,” katanya dalam sidang media di JPN, hari ini.

Beliau turut menyatakan bahawa sindiket ini dipercayai terlibat dalam penyeludupan kanak-kanak dari luar negara yang kemudiannya dijual kepada individu tertentu.

Selasa lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan Op Outlander dan Op Birth, dengan menyerbu beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman di sekitar Lembah Klang dan Johor.

Beberapa individu, termasuk seorang doktor bergelar ‘Datuk Seri’, ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah berkaitan pendaftaran kelahiran.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama SPRM turut melancarkan Op Tumpang selepas siasatan selama setahun. Operasi ini dijalankan serentak di Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang, dan Perak.

Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa turut merampas wang tunai berjumlah RM54,000, dipercayai hasil daripada kegiatan haram sindiket berkenaan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta Kelahiran dan Kematian 1957, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles