Sindiket ‘Counter Setting’ Tumpas, 18 Pegawai Agensi Penguat Kuasa Antara 27 Ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 27 individu, termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa, kerana dipercayai terbabit dalam sindiket rasuah bagi meloloskan warga asing masuk ke negara ini tanpa melalui prosedur sah.

Kesemua suspek, terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita berusia antara 20 hingga 50-an, diberkas dalam operasi serentak di Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan semalam.

Menurut sumber, sindiket berkenaan beroperasi dengan modus operandi ‘counter setting’, iaitu menerima bayaran sebagai balasan untuk meluluskan kemasukan warga asing tanpa pemeriksaan sah di pintu masuk negara.

“SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000, barangan kemas, jongkong emas, beberapa kenderaan, motosikal, beg tangan mewah, jam berjenama dan peranti komunikasi,” katanya.

Selain itu, sebanyak 40 akaun bank membabitkan 34 akaun individu dan enam akaun syarikat dengan nilai melebihi RM1 juta turut dibekukan.

Kesemua suspek telah direman antara tiga hingga tujuh hari bermula hari ini selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam, Melaka, Seremban dan Kuala Lumpur.

“Daripada jumlah itu, selain pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat, seorang pengurus syarikat serta tiga orang awam turut ditahan,” tambah sumber tersebut.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

BBerkaitan

Latest articles