Simulasi Semula Di Tempat Kejadian Adalah Prosedur Biasa – Polis

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata kehadiran ibu Zayn Rayyan Abdul Matiin di lokasi penemuan jasad anaknya semalam adalah sebahagian daripada prosedur siasatan.

Jelasnya ia juga adalah sebahagian proses sebelum kertas siasatan yang lengkap dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

“Itu sebahagian tindakan lengkapkan siasatan maka itu sebab kita berbuat sedemikian. Seperti kebiasaan, setiap kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk sebarang keputusan,” katanya.

Jelasnya, beliau tidak dapat mengulas lanjut sama ada kertas siasatan telah dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya atau sebaliknya kerana tidak mempunyai maklumat terperinci.

Dalam masa sama beliau tidak mahu memberi sebarang komen mengenai persoalan sama ada ibu bapa kanak-kanak autisme itu akan didakwa esok atau dibebaskan.

Ia susulan akan ada kenyataan berkenaan kes itu oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

“Reman akan tamat esok, jadi saya tidak dapat berkongsi apa-apa petang ini dan mereka juga tidak boleh disambung reman lagi. Maka, tunggulah jika Pengarah JSJ mahu beri perkembangan kes itu nanti,” ujarnya.

Jumaat lalu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 28 tahun disambung reman enam hari lagi yang berakhir esok selepas tempoh seminggu sebelum ini tamat.

BBerkaitan

Latest articles