SilTerra Kekal Jadi Milik Syarikat Malaysia

Konsortium yang diterajui Dagang NeXchange Bhd (DNeX) memenangi tawaran mengambil alih pengeluar cip global, SilTerra Malaysia Sdn Bhd daripada Khazanah Nasional Bhd.

memetik laporan portal Berita Harian, DNeX dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, pada 5 Februari 2021, Khazanah memaklumkan bahawa ia menerima tawaran konsortium yang diterajuinya untuk cadangan penjualan keseluruhan terbitan modal saham SilTerra oleh sayap pelaburan kerajaan itu, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian yang pasti.

Katanya, penerimaan tawaran itu masih tertakluk kepada kerahsiaan sulit yang ketat dengan Khazanah dan butiran lanjut mengenai tawaran tidak boleh didedahkan sehingga pemeteraian perjanjian itu.

“Syarikat akan membuat pengumuman yang diperlukan tepat pada waktunya, sesuai dengan Syarat Penyenaraian apabila ada perkembangan material berkenaannya atau ketika perjanjian yang pasti telah dimeterai,” katanya

Media melaporkan sebelum ini bahawa Khazanah wajar mempertimbangkan untuk melepaskan kepentingannya dalam pengeluar cip global, SilTerra kepada syarikat tempatan yang berminat bagi menjamin dasar pembangunan Bumiputera.

DNeX dan Green Packet Bhd (GPacket) adalah dua syarikat tempatan yang membuat bidaan kepada Khazanah bagi memperoleh kepentingan dalam SilTerra.

Dua firma global iaitu Foxconn Technology Group dan syarikat Jerman, X-FAB juga menyertai bidaan mengambil alih kepentingan pengeluar cip global itu.

Dalam temubual bersama BH dan NST pada Disember lalu, Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata DNeX bersedia untuk memulihkan SilTerra, jika diberi peluang untuk memulihkan anak syarikat milik penuh Khazanah itu.

Malah, beliau berkata, DNeX memberi jaminan bahawa pemilikan SilTerra akan kekal sebagai syarikat Malaysia meskipun ia menjalin usaha sama dengan syarikat asing.

Katanya, DNeX mempunyai pelan strategik untuk membawa SilTerra berkembang maju menerusi kerjasama dengan Beijing CGP Investment Co Ltd (Beijing CGP), yang mempunyai skala dan teknologi untuk memajukan SilTerra.

BBerkaitan

Latest articles