Silap jika nak ‘badan’ tak mahu ‘kepala’ – Khairuddin

KUALA LUMPUR: PAS dan UMNO perlu memperbetulkan beberapa ‘kesilapan’ sekiranya ingin melihat agenda perpaduan ummahMuafakat Nasional (MN) kembali bertaut.

Perkara itu dinyatakan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, yang mengakui antara prasyarat untuk melihat MN berjaya ialah dengan memastikan gabungan itu menjadi keputusan bersama dan rasmi oleh kedua-dua pimpinan parti.

Beliau juga percaya, PAS dan UMNO perlu menghidupkan kembali mesyuarat induk Muafakat Nasional (MN) supaya harapan untuk melihat agenda MN dapat dibina semula.

“Tidak wajar diharapkan MN dibina kembali dengan mengenepikan pimpinan utama kedua-dua parti. Ibarat hanya diinginkan badan tanpa kepala.

https://www.facebook.com/100044735640354/posts/541455034022347/

“Inilah kesilapan dalam pengurusan MN sebelum ini. Ada pihak yang mahukan badan sahaja tanpa kepalanya,” katanya melalui muat naik di Facebook, hari ini.

Sabtu lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberi bayangan mustahil untuk gagasan MN diteruskan jika PAS terus memperlihat sikap ‘talam dua muka’.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, UMNO mahu rakan yang setia dalam MN bukan sahaja berdasarkan daripada kenyataan dikeluarkan, tetapi menerusi tindakan dan keputusan yang dibuat oleh parti berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin berkata, penting untuk PAS dan UMNO tidak mencampuri urusan dalaman setiap parti dan membiarkan masing-masing menguruskan parti mereka sendiri.

“Jangan diulangi kesilapan tahun 1978 apabila ada parti mencampuri urusan pemilihan parti yang menjadi rakan kerjasama sehingga akhirnya terburai ikatan kerjasama. Sejarah pahit tidak wajar diulangi.

“Pasukan pasukan perunding kerusi juga tidak wajar dihentikan sekerat jalan. PAS perlu memperakui bahawa UMNO beberapa kali memohon diteruskan rundingan kerusi, tetapi PAS yang tidak melayan dan mengabaikan permohonan tersebut. Kesilapan ini perlu dibetulkan,” katanya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga berkata, tidak sewajarnya perpaduan antara PAS dan UMNO menjadi goyah hanya dengan kehadiran BERSATU yang kecil bilangannya.

Katanya, perpaduan ummah antara PAS dan UMNO menjadi harapan rakyat Malaysia dengan melihat kepada bilangan ahli dalam kedua-dua parti iaitu 3.2 juta dalam UMNO dan 800,000 dalam PAS.

“Ia juga melihat kepada sejarah pertembungan panjang dan pahit yang menjarakkan hubungan persaudaraan dan mengorbankan tali silaturahim kekeluargaan umat Melayu Islam melebihi 40 tahun.

“Justeru, tidak sewajarnya perpaduan antara dua parti itu menjadi goyah dengan kehadiran BERSATU yang kecil bilangannya,” katanya yang mengakui tetap istiqamah dengan perjuangan untuk melihat kedua-dua parti terus duduk bersama.

BBerkaitan

Latest articles