Sidang Parlimen 18 Mei Hanya Bincang Usul Urusan Kerajaan Dan Rang Undang-Undang

Sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung pada 18 Mei ini akan membincangkan Usul Urusan Kerajaan dan Rang Undang-Undang, demikian menurut Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dalam satu kenyataan.

Beliau berkata satu Notis Panggilan Mesyuarat telah diberikan kepada semua Ahli Parlimen pada 17 April 2020 lepas memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 aka berlangsung selama satu hari sahaja.

Menurut Mohamad Ariff, beliau ada menerima usul-usul lain daripada Ahli Parlimen lain untuk dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

“Sejak Notis Memanggil Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Dewan Rakyat dikeluarkan, saya telah menerima empat usul daripada Ahli-Ahli Yang Berhormat seperti berikut….,” katanya.

Daripada empat usul berkenaan ada dua usul berkaitan dengan usaha blok Pakatan Harapan (PH) untuk mengemukakan undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Usul berkenaan dibawa oleh Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Liew Vui Keong.

“Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat.

“Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Ahli Yang Berhormat Langkawi mempunyai keyakinan majoriti Ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat,” menurut Speaker.

Dua lagi usul ialah “Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang dijadualkan selama satu (1) hari adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Parlimen berhak mengawal selia tatacaranya sendiri dan ia adalah tidak terikat dengan mana-mana peraturan terutamanya Perintah Kawalan Pergerakan,”

“Mengemukakan cadangan agar Sidang Dewan Rakyat dilanjutkan daripada satu hari menjadi lapan hari,”

Speaker berkata atas pertimbangan beliau berdasarkan penjelasan beliau memutuskan ada sebahagian usul ditolak kerana usul berkenaan tidak perlu disegerakan dan sebahagian diterima kerana ia perkara tertentu dan boleh dibawa ke Mesyuarat Dewan Rakyat kelak.

Daripada empat usul yang dikemukakan oleh Vui Keong ketika negara masih berdepan jangkitan wabak Covid-19, dua usul pertama berunsur politik dan mahu membuat undi tidak percaya ke atas Muhyiddin dan membawa kemungkinan akan berlaku lagi krisis kerajaan di negara ini.

Selain itu, ada dua usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membuat ketetapan bahawa Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai keyakinan majoriti Ahli Dewan Rakyat telah ditolak oleh Speaker kerana ia tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mahathir sendiri juga ada memberikan satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) untuk memgemukakan resolusi bahawa Muhyiddin tidak mempunyai keyakinan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan ia juga telah ditolak.

Menurut kenyataan Speaker, usul berkaitan Muhyiddin diterima tetapi akan dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat kelak dan bukan pada 18 Mei ini.

Jika diperhatikan pada usaha PH menjelang sidang Dewan Rakyat ini, sudah pasti suasana sidang nanti akan kecoh dan mereka akan melakukan apa sahaja untuk membuat provokasi sepanjang sidang Dewan Rakyat berlangsung.

Mereka bukan mahu membincangkan tentang hal rakyat sebenarnya, tapi lebih kepada mahu merebut kuasa serta masih tidak boleh menerima kenyataan bahawa kerajaan PH telah tumbang. – TRI

BBerkaitan

Latest articles