Sidang Khas Parlimen Untuk Bincang Isu Banjir – UMNO

KUALA LUMPUR: UMNO menggesa satu sidang khas Dewan Rakyat mengenai banjir diadakan segera bagi membolehkan wakil rakyat mengutarakan pandangan dan melontarkan cadangan untuk membantu kerajaan mencari jalan terbaik menghadapi bencana itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa kesal parti terhadap koordinasi agensi berkaitan yang sepatutnya aktif digerakkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang didakwanya sebagai tidak bermaya dan lemah dalam menghadapi musibah banjir kali ini.

“Dengan angka korban begitu tinggi berbanding banjir besar pernah melanda negara pada tahun 1971 (30 orang) dan 2014 (21 orang), tentunya memerlukan kerajaan Keluarga Malaysia melaksanakan segera saranan titah Yang di-Pertuan Agong supaya dilakukan ‘post-mortem’ bencana banjir,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun UMNO menghargai dan menyambut baik segala inisiatif dan bantuan kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang jumlahnya mencecah sehingga RM61,000.

Ahmad Zahid, dalam masa yang sama berkata UMNO berharap maklumat mengenai kaedah pelaksanaan dan penyaluran bantuan dapat segera dimaklumkan manakala kerenah birokasi dikurangkan supaya prosesnya dipercepatkan.

Ahmad Zahid juga menegaskan pendirian UMNO berhubung pengeluaran wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 secara sekali bayar dapat dipertimbangkan selaras dengan ketetapan Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bermesyuarat pada 27 Ogos tahun lalu.

Pada 31 Disember tahun lepas, Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan mengadakan sidang khas Dewan Rakyat untuk membahaskan isu banjir yang melanda di beberapa negeri hingga memusnah banyak tempat tinggal selain meragut ramai nyawa.

BBerkaitan

Latest articles