Sidang Kemuncak ASEAN: Thailand, Kemboja Tandatangan Perjanjian Damai Disaksikan Anwar, Trump

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung hari ini mencatat detik bersejarah apabila Thailand dan Kemboja menandatangani Perjanjian Damai yang bakal menyelesaikan pertikaian lama antara kedua-dua negara jiran itu secara aman.

Majlis pemeteraian yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali gus memperlihatkan keupayaan ASEAN sebagai platform diplomasi yang konstruktif dan berkesan.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, kejayaan rundingan tersebut menjadi bukti nyata bahawa ASEAN mampu menangani konflik dalaman rantau ini melalui jalan diplomasi dan persefahaman bersama.

“Perjanjian ini melambangkan kejayaan diplomasi damai ASEAN dalam menyelesaikan pertikaian secara aman serta memperkukuh peranan Malaysia sebagai pemudah cara utama keamanan di Asia Tenggara,” katanya dalam sesi taklimat Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.

Beliau menambah, langkah itu juga memberi isyarat jelas bahawa ASEAN kini berada di landasan yang kukuh sebagai blok serantau yang stabil, dihormati dan berwibawa di peringkat global.

Kejayaan bersejarah ini turut hadir seiring dengan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini di bawah tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, yang menekankan kepimpinan negara dalam mengimbangi agenda ekonomi, keselamatan dan kestabilan serantau.

Sidang kemuncak kali ini turut menghimpunkan pemimpin ASEAN bersama tetamu Pengerusi daripada Brazil, Afrika Selatan, Kanada dan Kesatuan Eropah, sebagai usaha memperkukuh hubungan diplomatik serta mengangkat suara Asia Tenggara di pentas dunia.

Pada sesi pembukaan rasmi, para pemimpin akan turut menyaksikan penandatanganan Deklarasi Penyertaan Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN, satu lagi detik penting di bawah kepimpinan Malaysia yang melengkapkan komuniti ASEAN sebagai keluarga serantau yang bersatu.

Selain mempengerusikan sesi pleno dan pemukiman, Anwar dijadual membincangkan isu-isu tumpuan termasuk integrasi ekonomi, Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar, serta perkembangan keamanan dan perdagangan global, termasuk situasi di Gaza dan Asia Pasifik.

Tunku Nashrul menegaskan, komitmen berterusan Malaysia terhadap diplomasi damai mengukuhkan keyakinan dunia bahawa ASEAN kekal blok serantau yang matang, bersatu dan relevan, manakala Malaysia terus memainkan peranan sebagai penyokong kestabilan dan keharmonian Asia Tenggara.

BBerkaitan

Latest articles