Sidang Kemuncak Asean Ke-46 Dilengkapi Rangkaian 5g Berkelajuan Tinggi – Fahmi

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) – Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini akan menggunakan sambungan internet berkelajuan tinggi melalui rangkaian 5G, hasil inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kemudahan rangkaian 5G itu disediakan khusus untuk menyokong kelancaran sidang kemuncak serta kesemua mesyuarat ASEAN di pelbagai peringkat, termasuk di Pusat Media Antarabangsa.

“MCMC telah menyediakan unit sambungan internet 5G berskala besar yang akan dimanfaatkan sepanjang penganjuran sidang kemuncak. Di pusat media, kelajuan capaian mencecah antara 300 hingga 600 Mbps dan boleh mencapai 1 Gbps,” katanya selepas meninjau fasiliti media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Beliau turut memaklumkan peluncuran Deklarasi Kuala Lumpur dijangka berlangsung semasa sidang tersebut, dengan butiran lanjut akan dimaklumkan kelak.

Dalam pada itu, NGO ANIMAS Malaysia, Firdaus Ahmad yang melihat inisiatif digital negara, memuji komitmen Malaysia dalam memperluas capaian 5G sebagai antara komponen penting pembangunan negara.

“Setakat Disember 2024, liputan 5G di kawasan berpenduduk telah mencapai 82.4 peratus. Ini menjadikan Malaysia antara negara yang terpantas melaksanakan rangkaian 5G secara nasional,” katanya.

Menurutnya, kemampanan dan transformasi digital negara yang aktif telah mendorong agenda pembangunan digital merangkumi aspek seperti teknologi 5G, inovasi, serta e-dagang serantau.

Beliau turut menyentuh kejayaan inisiatif JENDELA, yang telah melebihi sasaran apabila lebih 9.03 juta premis mendapat akses kepada internet berkelajuan tinggi dan gentian optik menjelang akhir 2024 katanya yang turut aktif melahirkan kontent-kontent berbentuk animasi di Malaysia.

Katanya dengan kestabilan liputan internet kini, inyak banyak membantu industri animasi berkembang dan kepuasan pengguna untuk menonton secara dalam talian seperti Durio, Youtube dan sebagainya

Usaha keseluruhan yang diterajui oleh MCMC meletakkan Malaysia di landasan kukuh untuk mencapai liputan 5G menyeluruh menjelang tahun 2026, dengan peningkatan ketara dalam kadar penggunaan dan liputan meluas di seluruh negara.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dijangka membincangkan isu-isu strategik serantau, memperkukuh kerjasama ekonomi dan membina masa depan digital yang mampan dan inklusif. Turut berlangsung ialah Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.

BBerkaitan

Latest articles