Sidang Kemuncak ASEAN Jadi Pentas Kukuh Rangka Ekonomi Serantau

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung minggu ini bukan sekadar platform diplomasi, tetapi medan penting untuk memperkukuh jaringan ekonomi, pelaburan dan transformasi serantau yang mampan.

Menurut beliau, kekuatan Malaysia dalam mengekalkan kestabilan dan daya tahan ekonomi sejak merdeka berpaksikan dasar berhemah yang memberi tumpuan kepada keseimbangan antara sektor kewangan, tenaga serta agenda digital.

“Alhamdulillah, Malaysia kekal kukuh sejak kemerdekaan dan kini terus melangkah ke hadapan dengan dasar berasaskan kemampanan, termasuk peralihan tenaga dan transformasi digital,” katanya pada sesi taklimat bersama Ketua-Ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kementerian Kewangan, malam tadi.

Anwar berkata, sidang kali ini membuka peluang luas kepada pemain industri serantau dan global untuk menjalin kerjasama strategik dalam memperkukuh ekosistem pelaburan ASEAN.

“Saya berharap pertemuan perniagaan yang diadakan sempena sidang ini akan menjadi pemangkin kepada minat pelabur luar untuk meninjau potensi besar Malaysia serta rakan-rakan ASEAN lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mendedahkan Malaysia telah mengadakan rundingan perdagangan dan pelaburan dengan beberapa pemimpin dunia, termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bagi membincangkan isu tarif serta kerjasama dua hala.

“Beberapa bulan kebelakangan ini, rundingan mengenai tarif dan pelaburan dijalankan dalam semangat positif meskipun berdepan cabaran tertentu. Matlamat kita jelas memastikan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara terus kukuh,” katanya.

Anwar turut menegaskan, semangat kerjasama erat dalam ASEAN kekal menjadi tunjang utama Malaysia dalam mendepani cabaran global.

“Hubungan erat dengan rakan sejawat di ASEAN, termasuk Kemboja, membuktikan kesediaan rantau ini untuk bergerak seiring mencapai hasil positif bersama,” tambahnya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula 26 hingga 28 Oktober ini dijangka menghimpunkan 23 ketua kerajaan serta lebih 12,000 delegasi dari seluruh dunia.

BBerkaitan

Latest articles