KUALA LUMPUR: Suasana Dewan Rakyat hari ini menjadi tegang apabila Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN), mencadangkan supaya Parlimen ditutup semula kerana didakwa gagal berfungsi sebagai institusi perundangan yang bebas dan berwibawa.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa, Shahidan mendakwa Parlimen Malaysia tidak menepati standard antarabangsa sebagai institusi bertaraf dunia.
“Parlimen seharusnya menjadi institusi bebas dan berwibawa, tetapi di Malaysia ia gagal. Tak dunia pun, dekat Malaysia pun gagal. Maka saya menyokong supaya perkhidmatan Parlimen ini ditutup semula,” katanya, mencetuskan kekecohan dalam dewan.
Kenyataan itu segera dibantah Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (PH), yang bangun membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36(4) dengan menyifatkan ucapan Shahidan sebagai “biadab dan tidak sopan”.
Menurut Rayer, sebarang rasa tidak puas hati sepatutnya dibangkitkan dengan fakta dan hujah, bukan dengan merendahkan martabat Parlimen yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Namun, Shahidan tidak berdiam diri dan membalas dengan nada sinis: “Kamu jangan menyibuk.”
Beliau turut menegaskan bahawa kenyataannya tidak bermaksud memperlekeh institusi Parlimen, tetapi menyeru agar keadilan ditegakkan dalam semua dasar kerajaan.
“Di luar negara saya pertahankan (Parlimen Malaysia), tapi dalam negara saya sebut bahawa kita mesti berlaku adil. Ini bukan dasar apartheid tetapi kerajaan perpaduan Madani,” katanya.
Timbalan Speaker, Alice Lau, kemudian campur tangan bagi menenangkan keadaan dan meminta Rayer menghantar usul rasmi berhubung kenyataan Shahidan.
Untuk rekod, Parlimen Malaysia pernah digantung pada 2021 semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akibat pelaksanaan darurat ketika penularan wabak Covid-19.
Sementara itu, Rayer difahamkan akan mengemukakan usul kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen esok bagi merujuk Shahidan atas kenyataannya itu.










