Siasatan Terhadap Ismail Sabri Tak Sampai 20 Peratus Lagi

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka dipanggil semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh dua minggu akan datang bagi melengkapkan siasatan berkaitan isu pengisytiharan harta.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang memaklumkan bahawa Ahli Parlimen Bera itu kini sedang menyediakan beberapa dokumen penting yang diminta agensi tersebut.

“Beliau akan dipanggil semula dalam tempoh dua minggu lagi kerana ada dokumen-dokumen yang kita minta beliau sediakan dan kes masih lagi berjalan.

“Siasatan ini melibatkan isu pengisytiharan harta dan sudah tentu ia mengambil masa kerana kami perlu meneliti secara mendalam punca dan butiran setiap aset yang diisytiharkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Southeast Asia Anti-Corruption Conference di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.

Azam turut menegaskan bahawa proses semakan terhadap dokumen pengisytiharan tersebut baru mencapai sekitar 15 hingga 20 peratus setakat ini.

“Sebab beliau mengisytihar satu hal, dan yang kedua, kami perlu pastikan apa yang diisytihar itu benar atau tidak. Jika terdapat maklumat tidak lengkap atau tidak benar, ia boleh menjadi satu kesalahan,” katanya.

Ismail Sabri, yang merupakan Perdana Menteri kesembilan sebelum ini telah dipanggil sebanyak tujuh kali oleh SPRM untuk memberi keterangan berhubung siasatan tersebut.

Beliau disiasat berhubung dakwaan salah guna dana kerajaan dan perbelanjaan promosi dalam program Keluarga Malaysia ketika memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Dalam pada itu majlis hari ini turut dihadiri oleh Presiden Kesatuan Antirasuah Asia Tenggara (Sea Actions), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Seri Mustafar Ali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur persidangan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles