Siasatan SPRM Dedah Rasuah Terancang Babitkan Bekas PTD, Rangkaian Meluas

PUTRAJAYA: Seorang bekas Panglima Tentera Darat (PTD) direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penerimaan wang rasuah secara terancang yang dipercayai membabitkan rangkaian lebih luas.

SPRM memaklumkan, hujahan itu dikemukakan oleh pegawai penyiasat ketika memohon perintah reman terhadap suspek utama di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, susulan siasatan ke atas projek perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Menurut kenyataan SPRM, tempoh reman selama tujuh hari diperlukan bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, termasuk meneliti sejumlah besar dokumen berkaitan perolehan, mengesan individu lain yang disyaki terlibat serta mengenal pasti aset dan proksi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan rasuah tersebut.

“Permohonan reman dibuat atas asas dakwaan penerimaan rasuah secara terancang, melibatkan kemungkinan penglibatan beberapa pegawai lain serta rangkaian rasuah yang lebih besar. Ia juga bagi mengelakkan risiko suspek menghubungi saksi, mengganggu siasatan atau memusnahkan bahan bukti,” menurut kenyataan itu hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Majistret Putrajaya membenarkan bekas PTD itu direman sehingga 14 Januari ini.

Dalam kes sama, dua individu lain iaitu isteri pertama suspek direman selama tiga hari sehingga 10 Januari manakala isteri kedua direman enam hari sehingga 13 Januari bagi membantu siasatan.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM pada pagi tadi.

SPRM turut memaklumkan kesemua suspek berusia antara 20 hingga 50-an ditahan kira-kira jam 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan reman berkenaan dan menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara profesional dan menyeluruh.

BBerkaitan

Latest articles