KUALA LUMPUR: Usul untuk membahaskan dakwaan pemilikan 17.7 juta saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mendapat lampu hijau Dewan Rakyat hari ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan usul yang dibawa Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, ditolak bagi memberi ruang kepada Jawatankuasa Siasatan Khas menjalankan siasatan tanpa gangguan.
Menurut beliau, jawatankuasa yang dipengerusikan Peguam Negara itu telah ditubuhkan khusus untuk menyiasat isu pemilikan saham dalam Velocity Capital Partner Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Tan Sri Azam Baki.
“Oleh kerana siasatan sedang dan akan dijalankan, Dewan perlu memberi laluan supaya proses itu berjalan dengan teratur,” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.1) 2026.
Bagaimanapun, Ramkarpal berhujah bahawa kewujudan jawatankuasa tersebut tidak seharusnya menghalang Dewan daripada membincangkan isu berkepentingan awam.
Beliau menegaskan jawatankuasa itu bukan mahkamah undang-undang dan isu berprofil tinggi melibatkan Ketua Pesuruhjaya SPRM wajar dibahaskan segera, apatah lagi selepas mendapat liputan meluas media.
Johari dalam responsnya meminta semua pihak bersabar dan menunggu hasil siasatan sebelum sebarang perbahasan dibenarkan.
“Apa juga keputusan jawatankuasa nanti, saya akan pertimbangkan untuk membenarkan perbahasan dibuat,” katanya.










