SEREMBAN: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah dimaklumkan berkenaan gesaan supaya pengetua dan guru kanan pentadbiran di sebuah sekolah di sini dipindahkan segera.
Malah pihak berkenaan telah memulakan siasatan terhadap sebuah gambar kain rentang yang tertera desakan itu, dengan memaparkan pelbagai dakwaan berkait sikap dan tindakan pihak pentadbiran sekolah terbabit.
ADUN Senaling, Datuk Adnan Abu Hassan, berkata pihaknya bersedia memberi kerjasama menangani isu terbabit, malah dimaklumkan bahawa pegawai PPD sudah turun ke sekolah berkenaan untuk melakukan siasatan.
“Saya juga difahamkan bahawa satu laporan polis turut dibuat bagi mendapatkan kebenaran mengenai aduan terbabit, dan siasatan sedang dijalankan.
“Walaupun makluman awal menyatakan majoriti guru sekolah itu didakwa tidak bersetuju dengan kenyataan yang ditulis pada kain rentang berkenaan, adalah lebih baik untuk semua pihak menunggu hasil siasatan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Adnan berkata, pihaknya akan memantau isu terbabit bagi memastikan ia dapat diselesaikan dalam keadaan baik.