KUALA LUMPUR: Rasa dukacita Sultan Selangor terhadap isu ladang babi bukan sekadar teguran biasa, sebaliknya lahir daripada penderitaan rakyat yang sudah terlalu lama menanggung bau busuk, pencemaran dan risiko kesihatan akibat penternakan yang gagal diurus dengan baik.
Bekas calon Barisan Nasional Parlimen Sepang, Anuar Basiran berkata, masalah ladang babi di Kuala Langat dan Tanjung Sepat sebenarnya sudah berada pada tahap serius sejak bertahun-tahun lalu.
Menurutnya, teguran Sultan Sharafuddin Idris Shah seharusnya membuka mata semua pihak supaya tidak hanya bercakap soal hak penternak, tetapi turut mempertahankan hak rakyat untuk hidup dalam persekitaran yang bersih dan sihat.
Anuar mengingatkan, sekitar tahun 2007 hingga 2008, bekas ADUN Tanjung Sepat, Karim, pernah mencadangkan penyelesaian dengan mewujudkan zon ternakan khas menggunakan sistem tertutup serta teknologi pengurusan sisa dan bau dari Jerman.
Cadangan itu bertujuan menyelesaikan masalah dari punca dan mengurangkan penderitaan penduduk.
“Namun cadangan itu ditolak, termasuk oleh PKR ketika itu. Bukan kerana teknologi gagal, tetapi kerana politik dan sentimen,” katanya dalam hantaran Facebook.
Akibat penolakan itu, kawasan ternakan kekal berhampiran penempatan tanpa zon terkawal sepenuhnya.
Aduan rakyat pula berlarutan hampir 20 tahun, menjadikan bau busuk, pencemaran dan tekanan kesihatan sebagai rutin hidup penduduk.
Anuar turut mempersoalkan pendirian pihak yang kini bercakap soal hak dan keperluan ekonomi, termasuk kenyataan Datuk Burhan yang menyokong penternakan diteruskan.
“Soalan paling jujur rakyat berhak tanya: Jika hari ini boleh bersetuju untuk teruskan, mengapa dulu penyelesaian ditolak?” katanya.
Beliau menegaskan isu ini bukan soal agama atau kebencian kaum, tetapi kegagalan membuat keputusan tepat pada waktu yang betul.
“Hari ini rakyat masih membayar harga keputusan politik yang salah. Sejarah sudah direkodkan. Rakyat tidak lupa, dan kebenaran tidak boleh ditutup dengan naratif baharu,” katanya.










