Siapa Ketua Hakim Negara Yang Baru Mungkin Diketahui Esok – PM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengesahkan beliau telah menghadap Majlis Raja-Raja bagi membincangkan pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu.

Menurut Anwar, keputusan rasmi mengenai pelantikan tersebut akan diumumkan oleh Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat.

“Pagi ini saya telah mengadakan perbincangan prospektif dengan Majlis Raja-Raja dan saya rasa saya boleh membuat keputusan. Mudah-mudahan esok akan ada pengumuman yang jelas, sekaligus menghapuskan persepsi negatif yang timbul,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti Malaysia 2025, hari ini.

Anwar turut menegaskan sepanjang lebih dua setengah tahun memegang jawatan Perdana Menteri, beliau tidak pernah campur tangan dalam hal berkaitan pelantikan atau keputusan badan kehakiman.

“Saya memberi jaminan, selama saya memegang jawatan ini, saya tidak pernah membincangkan secara mendalam mana-mana kes bukan dengan hakim, bukan dengan sesiapa. Saya berada di sini bukan untuk melupuskan kebebasan kehakiman.

“Kebimbangan mungkin timbul kerana kelewatan pelantikan atau pengecualian dalam beberapa jawatan penting badan kehakiman, tetapi saya pastikan perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa semua pihak terutama pengamal undang-undang harus berpegang kepada undang-undang dan fakta, bukan semata-mata kepada persepsi.

Dalam pada itu, Anwar berkata pelantikan Ketua Hakim Negara kelak akan membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam melaksanakan reformasi termasuk menjamin prinsip kebebasan kehakiman.

“Banteras rasuah bukan hanya tuntutan moral tetapi juga pemacu kepada pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan. Rasuah dalam apa jua bentuk sekalipun adalah berbahaya dan menjadi ancaman terus kepada kemajuan ekonomi serta keharmonian negara,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles