KLANG: Aktiviti persundalan yang berselindung di sebalik bangunan terbiar dan rumah usang di Jalan Kem terbongkar apabila premis terbabit digempur pihak berkuasa, tengah hari Selasa.
Operasi kira-kira jam 1.15 petang itu dilaksanakan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Tinjauan di lokasi mendapati premis yang kotor, berhabuk dan berbau itu diubah suai secara haram dengan pemasangan partition kecil dipercayai dijadikan bilik untuk aktiviti seks.
Lebih mengejutkan, terdapat laluan rahsia dipercayai digunakan untuk melarikan diri sekiranya berlaku serbuan.
Turut ditemui di dalam premis ialah tisu dan kondom, dipercayai digunakan pelanggan.
Ketika operasi dijalankan, beberapa wanita cuba meloloskan diri manakala ada penghuni yang enggan membuka pintu dan tidak memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.
Memetik laporan Sinar Harian, wanita warga Indonesia berusia 29 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Mimie mengaku menawarkan perkhidmatan seks sejak dua bulan lalu dengan bayaran RM70 bagi setiap pelanggan.
Dia mendakwa menyewa bilik berkenaan dan membuat bayaran bulanan kepada seorang lelaki.
Wanita itu turut memaklumkan menerima pelanggan tempatan dan warga asing, dengan jumlah pelanggan mencecah sehingga lima orang sehari.
Difahamkan, dia juga mengaku mengambil bahan terlarang yang dibeli pada harga RM50 bagi sekali penggunaan.
Dalam serbuan tersebut, seramai 23 individu ditahan membabitkan 17 wanita dan seorang lelaki berpakaian wanita dipercayai pelacur, seorang penjaga premis serta empat pelanggan.
Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.










